Dua kunci penting Kalau-kalau ada yang terlupa atau memang belum mengetahui. Kunci pertama ialah ‘just do it’. Semakin saya cuba memperbaiki diri, saya lihat mereka yang sangat berjaya ini melakukan sesuatu tanpa banyak keraguan di hati (sudah tentu selepas mempertimbangkan kesemua aspek). Melakukan terus. Lagi dan lagi. Kalau gagal mereka bangkit semula. Mengambil risiko yang tidak sanggup disahut oleh orang biasa. Ya.. Mereka rugi. Mereka pernah terbuang, mereka pernah dijadikan bahan gurauan, mereka pernah ditomah dan difitnah. Tapi pada lain kali saya lihat, mereka lakukan dengan jaya pula. Mata saya makin terbuka. Saya lihat kekuatan mereka berbeza dari kita. Saya lihat ketabahan mereka berbeza dari kita. Saya lihat kesanggupan mereka berbeza dari kita. Saya lihat mentaliti mereka berbeza dari kita. Baru saya sedar, rupanya mereka memang berbeza dari kita. Sebab itulah tahap kekayaan mereka juga jauh berbeza dari kita. Sebab itulah mereka lebih handal dari kita. Kita tidak akan pernah setanding dengan mereka. Tidak akan pernah. Melainkan kita mengikut jalan yang mereka lalui. Ya..memang betul, anda boleh belajar. Bertanya dan meminta petua dari mereka. Melalui pengalaman, pemerhatian, buku, seminar atau perbincangan dengan mereka. Tapi pada akhirnya anda sendiri juga yang terpaksa menempuhi jalan tersebut dengan sendirinya. Dan hati-hati sahabatku.. Jalan itu betul-betul berliku dan bukan semudah ianya diceritakan.
Kunci kedua ialah, ‘Knowledge is power, but the true power is action’. Berkait rapat dengan poin di atas. Memiliki segala pengetahuan, maklumat dan kemahiran yang diperlukan sahaja tidak memadai. Ibarat seperti anda tahu lokasi, jalan dan arah. Malah hafal setiap simpang dan bulatan menuju ke Kelantan. Anda ingin benar melawat ke sana. Tapi anda masih di rumah dan asyik menonton TV. Sudah pasti anda tidak sampai ke sana dan tidak akan dapat membeli belah di Pasar Siti Khadijah yang meriah itu. Mempunyai maklumat saja tidak mencukupi. Anda memang tahu banyak hal. Anda memang tahu banyak perkara. Anda penuh dengan ilmu pengetahuan. tapi ianya tidak akan membawa anda kemana-mana. Anda akan tetap di situ dan tiada pergerakan.
Action tuan-tuan. Itulah petunjuk kita di sini. Tindakan dan perbuatan ke arah yang lebih cerah. Anda ada pengetahuan jadi kenapa tidak gunakannya? Kenapa disimpan? Ia akan menjadi satu kerugian dan pembaziran yang amat nyata. Seorang kenalan saya amat mahir dalam pertukangan tangan. Beliau boleh membina rumah yang cantik. Beliau juga boleh membuat perabot yang indah dengan mata tertutup. Kerap kali beliau nyatakan hasrat dan keinginan memiliki sebuah bengkel perabot sendiri. Tapi sampai kini, nampaknya belum ada apa-apa tindakan yang dilakukan. Lihatlah, betapa kemahiran dan kepandaian beliau terbazir begitu sahaja. Seringkali juga beliau keputusan wang.
Kalau anda bertindak mengemas barang sekarang, membeli tiket penerbangan atau memandu sendiri, saya yakin anda tentu akan sampai ke Kelantan tidak berapa lama lagi.
Belajar memang mempunyai harga. Dan kos itulah harga mandatori yang perlu anda bayar. Itu memang tidak dapat dielakkan. Anda melanjutkan pengajian perlu membayar yuran. Anda belajar berniaga dan modal yang hangus dalam kerugian adalah kosnya. Anda belajar melabur dan mengalami kejatuhan nilai ialah harga mandatori yang perlu dijelaskan. Anda berusaha dan menemui kegagalan itulah dia kosnya. Tiada jalan mudah. Selagi anda tidak mahu membayar harganya, selagi itu anda tidak akan mendapatkannya. Bagi saya, dalam sekian banyak angan-angan, yang paling teruk ialah mahu berjaya tapi tidak mahu berusaha.
Kalau diimbas kembali, kegagalan pun sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu teruk. Boleh jadi anda kehilangan wang, boleh jadi masa anda terbuang, boleh jadi keringat anda tumpah dan kudrat anda sia-sia. Boleh jadi anda menangis, boleh jadi anda menyesal terhadap sesuatu, dan boleh jadi semangat anda luntur. Tapi kegagalan itu juga adalah siri pendidikan yang paling berkesan, oleh kerana ia menyentuh banyak bahagian dalam diri kita, maka sumpah mati anda pasti tidak mengulangi kesilapan yang sama lagi! Saya cadangkan anda membaca buku Berani Gaga l- Bili Lim untuk mengetahui mengenai hal ini dengan lebih mendalam. Melainkan anda memang tidak pandai belajar dari kesilapan. Saya pasti selepas ini, anda akan sehabis daya mengelakkan perkara-perkara yang menggagalkan itu. Dan tentunya juga anda akan mencuba semula, tapi kali ini lebih bersedia dan lebih handal dari biasa.
Jadi pesanan saya kepada dugaan dan halangan di hadapan itu; kamu perlu lebih sukar dan lebih licik lagi untuk menghalang mereka kini.
__________________________________________________
*(Sumber: Julmazli Dempollok merupakan penyedia newsletter dalam niche penjimatan, perniagaan, kewangan dan motivasi. Sila ke
www.KeajaibanPenjimatan.com untuk melanggan newsletter percuma beliau.)